Wednesday, March 24, 2010

Hidup Dan Kehidupan (Bahagian Ketujuh)

Assalamualaikum dan Salam Gagasan 1 Malaysia.


P – Penentu.

‘kita berusaha dan Allah menentukannya’. Itulah kata-kata yang sering kita dengar dari para penulis dan pujangga. Tetapi apabila saya berkata ’kita ada kuasa penentu’, saya yakin ramai yang tidak bersetuju. Walau bagaimanapun, itu adalah pendapat peribadi saya sahaja. Saya bersandarkan kepada ‘kita berkuasa untuk menentukanya dan hanya Allah yang mengizinkannya’.

Sekiranya kita hanya berserah kepada takdir, maka kita akan kurang berusaha. Dan jika kita kurang berusaha bagaimanakah kita mencapai kehidupan kita. Ada orang bertawakal dahulu dan di ikuti dengan berikhtiar. Bukankah lebih baik jika berikhtiar dahulu dan kemudiannya kita bertawakal?

Saya ingin mengambil contoh yang paling mudah. Makanan yang telah terhidang, bolehkah ia masuk ke dalam mulut kita tanpa kita berusaha untuk membawa makanan itu ke dalam mulut kita? Dan apabila makanan itu sudah berada di dalam mulut kita, bolehkah kita menelannya tanpa kita mengunyah terlebih dahulu? Apabila kita sudah membawa makanan atau menyuap makanan itu ke dalam mulut kita serta mengunyahnya dan secara tidak sengaja kita tersedak dan termuntah, itu barulah bukan menjadi rezeki kita.

Ini bermaksud kita berikhtiar untuk menyuap, mengunyah dan apabila kita berusaha untuk menelannya dan termuntah, barulah bermaksud kita tidak mendapat izin dari Allah untuk menelan makanan itu, dan bertawakallah kita. Kerana sesungguhnya ada hikmah di sebaliknya makanan yang telah kita suap dan kunyah itu termuntah. Hanya Allah sahaja yang tahu akan hikmahnya kenapa makanan itu tidak dapat kita telan. Sebaliknya jika kita bertawakal dahulu, samalah ertinya mengharapkan ada seseorang yang akan membantu kita untuk menyuap, mengunyah dan bagaimana pula jika kita sendiri tidak berusaha untuk menelannya. Kecuali kita ini sudah tidak ada daya upaya dan terlantar. Kita mengharapkan seseorang menyalurkan makanan melalui tiub getah yang di pasang melalui hidung dan terus di salurkan ke dalam perut kita. Di waktu itu, apakah status kita? Ya, sebenarnya kita masih hidup, tetapi kita lumpuh. Tidak membangun atau tidak boleh bangun.

Satu lagi contoh yang ingin saya berikan. Kita mempunyai temu janji. Dan temu janji itu penting. Oleh kerana pentingnya temu janji itu, maka kita berusaha untuk melaksanakannya. Dalam hujan ribut pun kita akan cuba sedaya upaya untuk menepati temu janji itu. Di pertengahan jalan, tiba-tiba kita terlibat dalam kemalangan atau jalan sesak dengan teruk atau ada rintangan lain yang benar-benar kita tidak dapat melaksanakannya. Ini juga bermaksud kita telah berusaha untuk menentukan kita menepati janji dan Allah tidak mengizinkannya. Sebaliknya, kita tahu temu janji itu penting, tetapi apabila hujan lebat, kita sendiri yang membatalkan atau memberi alasan ‘hujan lebat’, bukankah itu bermaksud kita telah menentukan untuk tidak menepati temu janji itu?

Atau satu contoh lagi, kita merasa dahaga, tetapi kita malas atau tidak mahu ke dapur untuk mendapatkan segelas air, tidakkah itu menunjukkan bahawa kita sendiri yang telah menentukan kita tidak ke dapur untuk mendapatkan segelas air? Akhirnya kita mendapat sakit buah pinggang atau batu karang, tidakkah itu membuktikan bahawa kita telah menentukkan untuk mengidap penyakit berkenaan? Hari ini kita sakit, tetapi kita enggan berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan, tidakkah itu menunjukkan bahawa kita telah menentukkan untuk terus sakit dan menderita? Hari ini kita berharta, tetapi oleh kerana kita terlalu marah, kita telah memusnahkan ke semua harta benda kita. Tidakkah itu menunjukkan bahawa kita telah menentukan untuk menjadi miskin? Hari ini kita kecewa, dan kita memutuskan untuk lari, tidakkah keputusan itu yang kita tentukan sendiri? Bagaimana pula jikalau kita kecewa dan membunuh diri? Tidakkah kuasa penentu itu di putuskan oleh diri kita sendiri?

Ya! Kita mempunyai kuasa penentu. Sebab itulah Allah berfirman, maksudnya ’aku tidak akan mengubah nasib satu kaum itu, jika kaum itu sendiri tidak mengubahnya’.

Hanya Allah yang maha mengetahui akan seisi alam.


TERIMA KASIH.

OKU BOLEH:
BERSAMA MENJAYAKAN GAGASAN 1 MALAYSIA.
OKU BOLEH!

©MODERATOR.OKUBOLEH
24 March 2010.
OKU BOLEH®


http://okubolehgooglegroups.blogspot.com
http://groups.google.com.my/group/oku_boleh


*Amaran-hak cipta terpelihara.
Di larang menyalin atau menyiarkan semula (moderator.okuboleh) dalam sebarang bentuk tanpa izin dari moderator.okuboleh

No comments:

Post a Comment