Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua.
Di sini, Zu menyalin semula artikel yang di siarkan di MINGGUAN WANITA BILANGAN 1374 PP4404/07/2010(024692) 19-25 MARCH 2010 / 3-9 RABIULAKHIR 1431H.
Mukasurat 120 - Ku Gapai Bintang.
Oleh: KHAIRUN NISA ISHAK.
Foto: AZAHARI ARIS
KECACATAN ITU SATU KEISTIMEWAAN - SHUKOR.
"SAYA MULA MENGALAMI MASALAH KESIHATAN SEJAK TAHUN 1985 KERANA BERLAKU MASALAH SARAF DI BAHAGIAN BELAKANG MATA. KEMUDIAN, PADA TAHUN 1987 SAYA MULA MENJALANI RAWATAN DI HOSPITAL, TETAPI MALANGNYA MATA SAYA TIDAK DAPAT DI SELAMATKAN LAGI.
Mata saya terpaksa dibedah. Namun, pembedahan itu juga tidak memberi kesan seperti yang di harapkan, sehinggalah saya hilang penglihatan sepenuhnya pada tahun 1992. Berikutan itu, saya cuba dapatkan latihan di Pusat Latihan Jalan Gurney, Brickfields.
"Di sana, saya diberi beberapa kemahiran seperti mengurut, membaca, menulis Braille, berjalan menggunakan tongkat, memasak dan beberapa perkara lain berkenaan dengan penjagaan kesihatan, kebersihan serta keterampilan diri." ujar Mohamad Sokher @ Shukor Saaban, seorang Orang Kurang Upaya Penglihatan yang begitu komited dengan kerjaya refleksologi yang diusahakannya sendiri di Bandar Baru Ampang ini.
Menurutnya, biarpun kurang upaya tetapi sebenarnya golongan senasibnya tetap mampu bersaing dengan insan normal baik dalam kehidupan mahupun kerjaya. Apa yang paling penting ialah keyakinan diri, positif dan menerima ketidakupayaan diri sebagai modal untuk terus berusaha sehingga apa yang diinginkan tercapai. Mustahil untuk memuaskan hati semua pihak dan kebanyakkan orang tidak akan percaya OKU mampu berjaya sehingga mereka melihat sendiri di hadapan mata.
"Saya pernah dilatih oleh Zublee Zainurdin, di dalam pengucapan awam. Saya pernah dijemput memberi ceramah motivasi, dan pernah ke udara beberapa kali dalam siaran radio seperti di dalam program Hitam Putih Kehidupan terbitan radio satu, ceramah motivasi di dalam slot Gundah Gulana di radio satu dari tahun 1998 hingga 2002, dan pernah bersama radio KLFM dalam program berkisar urutan refleksologi dari tahun 2002 hingga 2004.
"Kini, saya sebagai seorang juru urut refleksologi dan saya boleh mengajar mereka yang berminat untuk mempelajari teknik urutan ini. Selain itu, saya juga merupakan salah seorang juru nilai kepada pelatih di Pusat Latihan Gurney bagi orang buta, Brickfields. Jika kita hanya menunggu peluang dan tidak berusaha, jangan mimpi untuk capai kejayaan." ujar anak kelahiran Muar, Johor ini lagi penuh bersemangat.
Berpengalaman selama 18 tahun dalam bidang refleksologi, bermula dari tahun 1991 ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Gurney Bagi Orang-Orang Buta, dan menjalani latihan intensif pada tahun berikutnya, Shukor mengusahakan pula Pusat Refleksologi & Urut Tradisional Restu Ibu. Sambil itu, Shukor turut menambah pengalaman dalam bidang urutan dengan bekerja di pusat rawatan refleksologi yang lain.
"Kemudian, saya buka pula pusat refleksologi Master Refleksology Therapy Center, sebelum mengambil keputusan menjadi juru urut refleksologi bebas pada tahun 2000. Dari Februari 2002 hingga kini, saya berjaya mempunyai pusat urut sendiri, Independent Blind Refleksologi di Bandar Baru Ampang dan telah membuka cawangan Refleksologi dan Urut Tradisional Restu Ibu di Alor Gajah, Melaka dan membesarkan cabang perniagaan aksesori telefon bimbit dan aksesori wanita di Negeri Sembilan.
Membaca dalam selimut.
Bercerita mengenai cabaran hidup sebagai seorang OKU penglihatan, Shukor berkata dia tidak memandang sebagai sesuatu yang negatif.
"Sebenarnya kita tidak keseorangan di dunia ini. Ramai lagi yang kurang upaya. Kalau kita ditakdirkan dengan hanya satu kecacatan, bayangkan mereka yang mungkin mempunyai pelbagai kecacatan. Bayangkan juga mereka yang mengalami kecacatan sejak kecil. Sebenarnya, ia adalah satu keistimewaan. Contohnya saya sendiri. Saya cacat penglihatan, tapi masih boleh berjalan dengan bebas semasa bekalan elektrik tiada di waktu malam. Ini kerana malam atau siang bagi saya adalah sama.
"Saya juga masih boleh membaca di dalam selimut dengan buku Braille saya. Di bidang ICT pula, saya masih mampu menggunakan komputer dengan bantuan Screen Reader (JAWS) setelah disambungkan kepada speaker. Saya juga masih boleh menggunakan komputer walaupun tanpa menggunakan tetikus ataupun monitor.
"Hanya menggunakan short cut key sahaja saya boleh menggunakan komputer. Cuba bandingkan dengan orang yang normal, yang biasa menggunakan tetikus. Bila berlaku masalah pada tetikus, tentu sekali mereka sukar untuk membuat kerja-kerja seperti biasa." tambah Shukor yang juga merupakan Naib Pengerusi Kelab Siber Persatuan Orang Buta Malaysia.
--
♥ You will know when you really love someone.♥ When you want him/her to be happy even if his/her happiness means you are not a part of it. ♥ Zu 'De Mafia Mom
Friday, March 19, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment