Monday, March 29, 2010

Hidup Dan Kehidupan. (Bahagian Lapan)

Assalamualaikum dan Salam Gagasan 1 Malaysia.


Hidup Dan Membangun.


Di dalam menjalani kehidupan kita seharian, semua orang mengharapkan akan kehidupan yang lebih baik dari sehari ke sehari. Dari menunpang atau menyewa sebuah bilik kecil sehinggalah mempunyai rumah sendiri. Dari hanya bermotosikal berubah kepada mempunyai motokar. Dari hanya berpakaian biasa berubah kepada memakai pakaian yang berjenama atau sekurang-kurangnya berpakaian yang berkualiti.

Semua orang akan berlumba-lumpa untuk mencapainya.

Di sini juga ingin saya renungkan bersama, adakah kehidupan kita ini berkembang atau membangun? Atau kehidupan kita yang lumpuh atau kualiti hidup kita semakin menurun.

Dari sudut fizikal, kita ini hidup, mereka yang lumpuh juga hidup. Kerana apa, kita dan mereka yang lumpuh dan terlantar itu masih bernafas, masih memerlukan keperluan asas. Kita masih memerlukan makanan, minuman, pakaian, tempat perlindungan dan sebagainya. Tetapi apakah yang membezakan di antara kita ini yang boleh bebas bergerak dan mereka yang terlantar itu? Perbezaan dari sudut fizikal yang nyata ialah kita boleh bangun dan berjalan sendiri dan mereka yang lumpuh itu memerlukan bantuan dan sokongan.

Marilah bersama-sama merenungkan akan kehidupan kita ini. Adakah kehidupan kita ini satu kehidupan yang boleh bangun atau membangun atau kehidupan kita yang tidak boleh bangun atau lumpuh.

Kita masih berada di takuk lama, sedangkan azam di tanam pada setiap awal tahun. Mengapakah azam itu hanya tinggal catatan di atas diari kita atau hanya sekadar bualan kosong atau hanya sekadar ungkapan gah semata-mata yang menunjukan kita hebat.

Ia tidak membangun kerana sikap kebal dan bebal di dalam diri kita sendiri. Kita tidak berusaha untuk mencapai matlamat. Kita tidak mendisplinkan diri kita. Impian kita tidak jelas. Oleh kerana sikap kebal dan bebal di dalam diri kita, maka hubungan kita sesama insan menjadi longgar, apatah lagi hubungan kita dengan tuhan. Oleh yang demikian, kita sendiri telah menentukan untuk menjadikan diri kita seperti yang ada sekarang ini.

Kita sering memberi alasan jika kita gagal, dan kita sering mengharap balasan jika kita berjaya. Percayalah, kejayaan kita akan menjadi longgar jika kurangnya keikhlasan.

Hampir setiap pagi kita akan melihat cermin (kecuali saya yang OKU Penglihatan) apakah yang kita lihat? Apakah yang kita fikirkan? Apakah yang kita komen terhadap diri kita?

Ambillah sekeping gambar penuh yang menunjukan diri kita dari hujung kepala hingga ke hujung kaki ketika kita berumur 17 tahun. Di sebelahnya, lekatkanlah gambar penuh diri kita sekarang. Perbezaan yang ketara adalah jumlah angka (umur, saiz pinggang dan berat badan) perubahan fizikal pada raut wajah dan sebagainya. Perubahan atau perkembangan itu berlaku kerana kita masih hidup serta memperoleh keperluan asas yang cukup. Mari kita lontarkan pandangan sejenak kepada mereka yang kurang sihat dan tidak memperolehi keperluan asas yang cukup. Bolehkah kita melihat perbezaanya?

Sebelum kita keluar bekerja, pernahkah kita menoleh sebentar ke rumah kita? Apatah lagi jika rumah itu adalah di atas nama kita sendiri. Mari kita sama-sama menyingkap sejenak keadaan rumah kita sepuluh, dua puluh tahun sebelum ini? Ya! Kita telah menggunakan kuasa penentu kita untuk memiliki rumah kita itu. Sekiranya kita masih menyewa, cukupkah dengan hanya sekadar berbisik di dalam hati, ‘belum ada rezeki’.Mungkin ada yang memilih untuk menaiki pengangkutan awam ke tempat kerja. Ada juga yang memilih untuk berkongsi kenderaan dan ada juga yang di sediakan khidmat pengangkutan ke tempat kerja. Bagi yang memandu sendiri, pernah terfikirkah ini kereta yang ke berapa kita miliki? Sekiranya kehidupan kita tidak membangun, adakah kita memandu kereta itu sekarang ini?

Sesampainya di tempat kerja, ketika kita mengetuk kad perakam waktu (jika ada) pernahkah kita terfikir ini kerja kita yang ke berapa? Berapakah gaji kita ketika kita mula bekerja disini dan berapakah gaji kita sekarang? Adakah kita masih di meja yang sama ketika kita mula bekerja dahulu?

Mungkin kita akan berkata ‘dah rezeki’, tetapi bukankah itu tandanya kehidupan kita yang hidup dan berkembang?

Segala perbezaan inilah yang menunjukkan bahawa kehidupan kita ini benar-benar hidup Kita masih mendapat keperluan asas dan terus bangun dan membangun Kita masih terus mengerakkan kehidupan kita hingga ketahap ini berbanding dengan mereka yang kehidupanya makin menguncup masih makan apa yang ada, pakai apa yang ada serta berteduh di mana yang boleh berteduh.

Untuk bangun memang penuh cabaran. Kita tidak akan dapat mencapai kehidupan yang benar-benar membangun dengan mudah tetapi jika tanpa menjalin hubungan yang baik, impian yang jelas, disiplin yang kuat, usaha yang gigih dan menggunakan kuasa penentu yang jitu, percayalah kehidupan kita sebenarnya lumpuh. Lumpuh kerana sikap kebal dan bebal kita.


TERIMA KASIH.

OKU BOLEH:
BERSAMA MENJAYAKAN GAGASAN 1 MALAYSIA.
OKU BOLEH!

©MODERATOR.OKUBOLEH
29 March 2010
OKU BOLEH®

http://okubolehgooglegroups.blogspot.com

http://groups.google.com.my/group/oku_boleh


*Amaran-hak cipta terpelihara.

Di larang menyalin atau menyiarkan semula (moderator.okuboleh) dalam sebarang bentuk tanpa izin dari moderator.okuboleh

No comments:

Post a Comment