Assalamualaikum dan Salam Gagasan 1 Malaysia.
Bilakah kali terakhir kita di marahi atau memarahi dengan perkataan itu?
Mari kita lihat dari satu sudut di mana saya akan menyerahkan kepada diri anda sendiri untuk menilaikannya.
‘Macam bebudak’ yang saya maksudkan adalah berperangai, berkelakuan, bertindak bercakap atau yang seumpamanya. Marilah kita menyorot kembali zaman kita masih anak-anak lagi. Kemudian kita perhatikan keletah anak-anak kita sendiri.
Sekiranya kita masih ingat, semasa kita masih kanak-kanak dulu,jarang sekali kita memikirkan baik dan buruk sesuatu perkara itu. Apa yang ada di dalam benak kita, adalah semuanya betul, semunya boleh dan apa yang kita hendak, mesti dapat. Kekadang kita bergaduh sesama sendiri. Kita bergaduh kerana hendak menegakkan kebenaran. Kita bergaduh untuk mendapatkan atau mencapai hajat atau hasrat kita. Tidak kiralah, samada dengan adik-beradik kita atau dengan rakan sebaya.
Sekiranya kita bergaduh dengan adik beradik kita, kemungkinan besar kita akan mendapat hukuman dari ibu atau bapa kita. Kekadang kita merajuk, tidak mahu makan, minum atau bergaul dengan adik beradik kita. Dengan rakan sebaya pula, kebarangkalian kedua ibu bapa kita dan ibu bapa rakan sebaya kita bertengkar atau sekurang-kurangnya bermasam muka. Lebih teruk lagi sehingga tidak bergaul atau menghadiri sebarang majlis atau kenduri kendara. Tidak cukup dengan itu, maka perihal kelakuan itu berkait mengait dengan sikap anak, tidak cukup dengan itu keturunan masing-masing juga akan di sebut atau di ungkit. Dan berita keburukan itu terus tersebar luas ke seluruh pelusuk kampung atau taman tempat kita tinggal.
Tetapi apa yang berlaku pada kita waktu itu? Di kalangan adik beradik, kita akan berbaik-baik semula dalam masa tak sampai dua jam. Manakala di kalangan rakan sebaya, sehari dua kita akan berbaik semula. Tetapi apakah yang terjadi kepada kedua ibu bapa dan kedua ibu bapa rakan sebaya kita?
Saya tinggalkan anda di sini untuk anda merenung dan memikirkan jawapan anda sendiri. Apa bila kita ini sudah pun dewasa, di mana yang sering di katakan ‘sudah pun berakal’, sudah pun berkeluarga dan mempunyai anak-anak, apakah yang akan berlaku sekiranya kita berselisih faham atau bergaduh?
Sekiranya kita ini datang dari keturunan keluarga yang ‘baik-baik’, sebahagian dari kita akan menegakkan keegoan kita dengan mengagung-agungkan kemuliaan keluarga kita. Sekiranya kita mempunyai kebolehan di dalam seni mempertahankan diri, sebahagian dari kita akan mempamerkan kekuatan kita. Sekiranya kita mahir berpidato, sebahagian dari kita akan menggunakan kehebatan kita itu untuk menjatuhkan lawan kita. Sekiranya kita terdiri dari kalangan orang yang berpengaruh, sebahagian dari kita akan membuat temu janji di mahkamah. Maka hakimlah yang memutuskan siapa yang bersalah. Walau pun hukuman telah di jatuhkan, masih terdapat sebahagian dari kita juga masih lagi tidak bertegur sapa.
Sekali lagi saya mengajak anda merenung sejenak kata-kata saya di atas tadi. Sudah pastinya jawapannya tidak sama dan pelbagai andaian yang akan keluar. Tidak kiralah samada kita ini berselisih faham dengan adik-beradik yang keluar dari satu perut atau berlainan perut. Mereka ini tidak lagi seperti semasa zaman bebudak dulu. Mengapa?
Sekiranya kita berselisih faham dengan rakan sebaya di waktu ini, berapa lamakah kita boleh berbaik semula? Saya sendiri pun tidak mempunyai jawapan yang pasti. Mengapa? Inilah yang di maksudkan ‘berakal’. Akal kita akan di pengaruhi oleh keegoan kita. Akal kita di pengaruhi oleh nafsu kita. Akal kita di pengaruhi oleh sikap kita. Dan pelbagai pengaruh lagi yang mempengaruhi kematangan akal kita.
Persoalannya sekarang, siapakah yang ‘macam bebudak’. Kalau bebudak masih lagi boleh berbaik semula, kenapa kita tidak? Siapakah yang ‘macam bebudak’? Tetapi kita yang telah pun di tafsirkan ‘berakal’ ini akan terus melenting bila kita di labelkan sebagai ’macam bebudak’. Siapakah yang ‘macam bebudak’ sebenarnya sekarang?
Ambillah sedikit masa untuk merenung kembali kekuatan di zaman bebudak kita dulu. Kekuatan untuk mencipta ‘kekuatan’ untuk hidup memperbaiki kehidupan. Hidup dan kehidupan adalah dua perkara yang berbeza. Hidup adalah perjalanan, manakala kehidupan adalah pengisian.
Sekiranya anda telah pun mengetahui keperluan di dalam perjalanan itu dan keperluan pengisian itu, tahniah! Anda manusia hebat. Sekiranya anda masih tercari-cari erti perjalanan dan pengisian itu, tolehlah sejenak ke belakang melihat dan merenung kembali jejak-jejak yang telah anda tinggalkan. Susunlah kembali perjalanan anda supaya anda terus hidup dan membangun.
TERIMA KASIH.
OKU BOLEH:
BERSAMA MENJAYAKAN GAGASAN 1 MALAYSIA.
OKU BOLEH!
©MODERATOR.OKUBOLEH
24 Januari 2010.
OKU BOLEH®
http://okubolehgooglegroups.blogspot.com
http://groups.google.com.my/group/oku_boleh
*Amaran-hak cipta terpelihara.
Di larang menyalin atau menyiarkan semula (moderator.okuboleh) dalam sebarang bentuk tanpa izin dari moderator.okuboleh
Sunday, January 24, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment