Wednesday, January 20, 2010

Aku Nak Juga!

Assalamualaikum dan Salam Gagasan 1 Malaysia.

Bilakah kali terakhir kita menyebut perkataan itu? Bilakah agak-agaknya kali pertama kita menyebut perkataan itu? Dan soalan terakhir saya, apakah kaitannya perkataan itu dengan kehidupan kita seharian?

Saya sendiri pun tidak pasti bilakah kali pertama dan kali terakhir saya menyebut perkataan itu. Marilah kita renungkan bersama apakah kaitannya dengan kehidupan kita yang berkait rapat dengan kejayaan dan kegagalan kita.

Semasa kita masih lagi kecil, apabila kita melihat penjual ais krim lalu di persekitaran rumah kita dengan membunyikan locengnya, kita pun teringin. Tanpa berfikir panjang kita pun meminta kepada samada ibu atau bapa kita. Pada masa itu kita tidak pernah pun berfikir samada mereka mempunyai wang untuk membeli ais krim tersebut. Apabila kita di larang, kita mungkin akan meronta-ronta untuk mendapatkannya. Kita akan menggunakan segala usaha dan daya. Kita menggunakan bahasa badan dengan meronta-ronta, berguling-guling dan sebagainya. Kita gunakan vocal kita, kita meminta, memujuk, kita menjerit, kita menangis dan sebagainya. Kita lakukannya tanpa rasa malu, tanpa berfikir dan tanpa mengendahkan nasihat kedua ibu bapa kita. Hasilnya, jika kita bernasib baik, kita akan mendapatkannya dan jika kita tidak bernasib baik, kita mungkin akan di rotan.

Hari ini, apabila kita telah dewasa dan boleh berfikir, apakah yang kita lakukan untuk mendapatkan sesuatu? Adakah kita masih berguling-guling atau menjerit-jerit? Jawapannya 50/50. Cara usaha kita berbeza. Sebahagian dari kita akan berusaha bersungguh-sungguh. Kita akan menggunakan segenap usaha fizikal dan mental dengan jalan baik. Kita merancang atau menjadualkan kerja-kerja kita. Kita melakukan mengikut jadual masa yang di tetapkan dengan konsistan sehinggalah kita mengecapi kejayaan itu. Memang lumrah manusia yang tak pernah puas. Kita berusaha lagi untuk mendapatkan kejayaan yang lain pula sehinggalah kita berada di kedudukan yang benar-benar selesa dan aman, iaitu di alam barzah. Tetapi jangan lupa, satu golongan dari kita juga, mereka berusaha dengan cara yang lain. Mereka menggunakan jalan yang terbalik, tetapi itu yang terbaik bagi mereka.

Apakah yang mereka lakukan? Dalam usaha mereka mendapatkan sesuatu, mereka akan memancung, menipu, menghasut, memfitnah, rasuah dan apa juga cara jalan walaupun menyalahi undang-undang, agama dan Negara. Matlamat mereka satu. Mendapatkan apa yang mereka hajati. Apabila mereka ini gagal, mereka menggunakan strategi lain pula. Mereka mula merekacipta cerita. Mereka mengada-adakan cerita. Mereka mencari cerita yang boleh di gunakan untuk menjatuhkan lawannya.

Berhenti dari membaca sekarang! Fikirkan sejenak. Kita terdiri dari golongan yang mana? Tahniah sekiranya anda terdiri dari golongan yang pertama. Sekiranya anda terdiri dari golongan kedua, fikirkanlah sejenak mengenai satu hukum, iaitu hukum kitaran atau pusingan roda. Fikirkan sejenak ‘tak orang tak kita’ Tidak mustahil kiranya satu hari nanti ada individu lain yang akan melakukan perkara yang sama kepada anda. Sekiranya jantung anda sekarang ini masih berdenyut, anda masih belum terlambat untuk menyusun semula strategi anda. Memikir dan mencari jalan yang harmoni dan terbaik untuk anda mengecapi kejayaan yang di redhai.

Saya seperti anda juga ingin mengecapi kemanisan kehidupan semanis-manisnya sebelum kita berehat dengan aman di sana nanti.


TERIMA KASIH.

OKU BOLEH:
BERSAMA MENJAYAKAN GAGASAN 1 MALAYSIA.
OKU BOLEH!

©MODERATOR.OKUBOLEH
20 Januari 2010
OKU BOLEH®

*Amaran-hak cipta terpelihara.
Di larang menyalin atau menyiarkan semula (moderator.okuboleh) dalam sebarang bentuk tanpa izin dari moderator.okuboleh

No comments:

Post a Comment